Hari ini
Kita boleh berjalan, berlari.
Boleh mandi sesuka hati, berkali-kali dalam sehari
Kita boleh pilih dan pakai baju yang kita gemari
Kita boleh solat, boleh ke surau, boleh ke tempat kenduri.
Kita boleh ke kedai, ke rumah saudara, ke rumah kawan atau sekadar ronda sekeliling kampung atau taman.
Sihat, bebas, seronok ke sana kemari
Namun, tiada jaminan untuk selamanya begini
Suatu hari nanti
Tidak mustahil tubuh yang kuat menjadi lesu
Kaki tidak lagi berfungsi
Terbaring tidak mampu bangun apatah berlari
Makan sekadar apa yang disuap atau diberi
Ketika itu
Di mulut dan di hati
Sentiasa mengharap Allah menguji setakat yang mampu ditanggung diri
Dilembutkan hati semoga ada orang yang mengasihani diri
Lenguhnya hanya Allah yang tahu
Jika diangkat, di duduk dan dibaringkan kembali
Hilanglah seketika lenguh, sakit-sakit akibat lamanya terbaring sehari-hari
Untuk kita yang sihat menyelami bagaimana rasa itu
Cuba bayangkan, baring seharian dari terbit fajar hingga terbenam matahari terus ke dinihari
Berhari-hari, berminggu-minggu
Dan kita juga tidak mustahil
Akan diuji lebih dari itu
Suatu hari nanti
Pasti sampai masanya nanti
Kita dimandi, dikapan, disolat dan dikebumi
Yang kadang-kadang didahului dengan sakit demam, lemah lesu
Atau dari sihat, gagah, hebat terus mati
Tinggallah semua yang dikejar dan dicari
Tinggallah semua
Anak isteri/suami, harta walau berlori-lori
Akan tiba malam pertamanya nanti
Di alam kubur seorang diri
Walau di dunia dikerumuni ramai anak cucu, sanak saudara tak pernah sunyi.
No comments:
Post a Comment