Friday, April 2, 2010

Ikut Hati Mati, Ikut Rasa Binasa

Tinta: Surat terbuka untuk adik Halimaton
Oleh Fadzlena Jafar
2/4/2010

KECEWA apabila membaca pengakuan adik Halimaton Abd Rashid yang sanggup membelakangkan keluarga sendiri demi cinta kepada seorang jejaka yang khabarnya dikenali sejak empat tahun lalu, sedangkan dia sudah mengenali ibu bapanya sepanjang hayatnya. Benar hanya dia dan keluarganya saja yang tahu apa sebenarnya berlaku, tetapi sebagai kakak dan apatah pula, saya sendiri sudah bergelar ibu, rasa terhiris tetap terasa apabila adik Halimaton menganggap keluarganya bagaikan musuh kerana menentang percintaannya.

Adik Halimaton, pada ketika ini sememangnya adik merasakan dunia ini adik yang punya, lebih-lebih lagi ketika hati sedang berbunga cinta. Pada usia 15 tahun, adik menganggap sudah cukup makan garam sehingga enggan meneruskan persekolahan dan membawa hati yang lara ke Langkawi, demi cinta kepada si dia.

Sepatutnya, pada usia itu, adik berusaha untuk menggenggam segulung ijazah, bukannya mengejar cinta yang belum tahu hujung pangkalnya. Dan ingatlah, masa depan adik bergantung kepada keputusan yang adik ambil hari ini kerana pada zaman penuh pancaroba ini, segulung ijazah boleh membantu adik menikmati hidup yang baik kelak.

Saya menulis surat ini sebagai kakak dan juga ibu, meminta supaya adik berfikir dengan mendalam adakah adik sanggup membelakangkan kepercayaan keluarga, membiarkan mereka bersedih dengan tindakan adik ini hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan keputusan adik. Satu hari nanti, adik juga akan menjadi ibu dan mempunyai anak sendiri. Bagaimana rasanya jika anak adik kelak melakukan tindakan sama membelakangkan adik sebagai ibunya untuk mengahwini pilihan hati yang tidak direstui, lebih-lebih lagi pada usia setahun jagung?

Orang kata, ikatan kekeluargaan tidak akan putus walau apapun terjadi. Darah yang mengalir dalam tubuh adik, adalah darah yang sama mengalir dalam tubuh ibu, kakak dan ahli keluarga lain. Sanggupkah adik yang dikatakan pelajar cemerlang melupakan ikatan itu demi insan lain?

Sebenarnya, apa yang adik lalui adalah antara cabaran pada usia remaja. Bertemu lelaki yang kita rasa cinta sejati kerana menganggap dia yang terbaik dan mungkin juga ada rasa bimbang, takut tidak bertemu lelaki yang lebih baik daripada dia, adalah perasaan biasa yang pernah dilalui ribuan wanita lain pada usia seperti adik.

Percayalah, sebagai orang yang pernah melalui perasaan itu, saya menasihatkan adik supaya yakin dengan diri sendiri. Jika sudah tersurat dia jodoh adik, tidak salah jika adik menangguh dulu ikatan yang dirancang, teruskan persekolahan dan berusahalah untuk mencapai cita-cita adik.

Perkahwinan bukan penyelesaian terbaik walaupun ada yang menganggap ia wajar dilakukan bagi mengelakkan zina. Tetapi, sebagai insan yang sudah dilengkapkan dengan ilmu agama secukupnya, saya yakin adik tidak termakan hasutan syaitan untuk melakukan perkara yang tidak baik itu.

Perjalanan hidup adik masih jauh lagi. Banyak yang boleh dilakukan jika adik berani menggapai impian menjadi pelajar cemerlang dan terokalah dunia baru yang begitu luas, bukannya berpegang kepada cinta yang remeh ini. Adik mempunyai masa depan yang cemerlang, mampu berjaya dalam pelajaran dan dengan itu semua, saya yakin adik akan menjadi wanita hebat kelak

Kepada keluarga teman lelaki adik, mereka sepatutnya sedar tindakan mereka membelakangkan keluarga adik tidak sewajarnya dilakukan. Mereka juga mempunyai anak, sepatutnya sejak awal lagi mereka sudah meminta adik yang masih di bawah umur supaya kembali ke pangkuan keluarga dan bukannya memburukkan keadaan.

Begitu juga teman lelaki adik. Jika dia benar-benar cintakan adik, jadilah lelaki gentleman bertemu keluarga adik bagi mendapat restu dan bukannya bersekongkol dengan adik untuk lari meninggalkan keluarga. Malah, sebagai orang yang lebih matang, sepatutnya teman lelaki adik memujuk adik supaya meneruskan persekolahan, menamatkan SPM dan mencapai cita-cita terlebih dulu.

Adik Halimaton, kami di ruangan wanita ini, banyak menerima e-mel dan panggilan telefon daripada rakan serta pembaca yang meluahkan kekecewaan dengan keputusan adik. Jangan ambil keputusan terburu-buru, fikirkan dengan mendalam apa yang dilakukan supaya kelak tindakan itu tidak menjadi 1,001 sesalan.

Dan jangan ikutkan hati, buang emak buang saudara, kerana kasih adik turutkan, mungkin kelak ia akan memakan diri sendiri. - fadzlena@bharian.com.my

6 comments:

Kujie said...

sedih juga baca cerita pasal gadis ini...pelajar pintar pula tu...rupanya dugaan alam remaja tak kita kecerdasan ilmu.

Kesian ibubapa dia...

echah_syed said...

mesti ikatan kekeluargaan tak kuat sbb tu memilih org lain dan sanggup membuang keluarga demi secebis kasih syg yg blom pasti :(

TokNabe said...

Mencabar sungguh zmn remaja la ni. Ore kata banyok alo dgn rimau....

rumah kuning said...

kujie,
kpd anak2 di luar sana, berfikirlah seribu kali sebelum membuat keputusan.Dan semoga ianya membahagiakan diri dunia akhirat.

rumah kuning said...

combi,
masa berkasih semuanya indah. apatah lagi dlm usia 15 tahun. bila dah susah nanti, baru sedar langit tinggi/ rendah.

rumah kuning said...

toknabe,
betul tu tok.bila dah singkat akal fikiran, semuanya sanggup dilakukan.