Saturday, December 31, 2011

Tahun Baru Azam Baru

Hari terakhir 2011. Macam sedih pun ada sebab cuti dah nak abis. hehehe. Azam untuk tahun 2012?  Cukuplah saya senaraikan di dalam hati. Nanti kalau saya cakap azam 2012 nak kurus, tengok-tengok bila sampai bulan Dis 2012 masih jugak gemuk, maluuu. hehehe. Apa pun azam kita, perlu diingat "Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat kita panjat dengan tangan di dalam poket".
OK Semoga dikurniakanNya kesihatan yang berkekalan, bahagia, ceria dan selamat semuanya.

Friday, December 30, 2011

Kisah Burung

Kat rumah saya ni (blog saya,cerita rumah saya la kan, takkan beria-ia nak cerita rumah orang)  boleh dikatakan sentiasa ada burung. Itu biasa je.... Yang agak kurang biasa (pada saya le ) burung-burung kat rumah saya ni asyik bertukar ganti. Kejap burung warna coklat, sebulan dua lepas tu burung tu dah hilang. Timbul pulak yang warna hijau. Dua tiga bulan lepas tu, yang sekor jadi dua, kemudian jadi tiga. Pastu,jadi dua balik, seterusnya jadi satu semula. Tak boleh  nak berkasih sayang lelama dgn burung-burung tu, sebulan dua akan  lesap . Pelik kan? Takyah pelik-pelik, mai makcik cerita, Penyebab kejadian  tu (ingat tak nak cerita, tapi nanti saudara saudari kata rumah saya berhantu pulak) kadang-kadang burung tu mati, kemudian tuannya beli lain. Kadang-kadang burung tu lari dari rumah. Pandai je dia buka pintu sangkar di tasik madunya tu. Buka pintu sendiri padahal tuan dia dah tutup elok-elok Dan seperti biasa, tuannya beli burung yang lain..Yang terkini. satu sangkar yang menempatkan dua ekor burung, dah tinggal seekor. Nak kata keluar,  pintu elok je bertutup. Heran makcik. Seekor dari burung tu boleh ghaib begitu sahaja. Yang tinggal tu sihat elok je. Hebatlah burung zaman moden nih.


Nikmati Hidup ( 2 )

Selagi kita masih  sihat, nikmatilah hidup ini sebaik mungkin. Jangan cari penyakit dan jangan menempah sakit. Semasa sihatlah kita boleh  bekerja, boleh  belajar, boleh bermain dan juga boleh beribadat sebanyak-banyaknya.  Esok, minggu depan, tahun depan masihkah kita sihat? Tiada siapa yang dapat memberi jaminannya. Jadi, berbekallah untuk menampung sebarang kekurangan semasa sakit atau uzur nanti. Kalaupun kita tidak diuji dengan kesakitan/keuzuran, tidak menjadi satu kerugian andainya kita  sediakan bekalan.

"Buat bersungguh-sungguh, simpan banyak-banyak"
InsyaAllah ianya akan memberatkan timbangan kita.

Thursday, December 29, 2011

Boleh???


Sokong  yang benar
Betulkan yang salah
Galakkan  yang malu
Ingatkan yang lalai
Ajar yang bodoh
Bantu  yang lemah

Jalan Dan Alasan

Malam tadi
Terjenguk-jenguk, terteleng-teleng. Ada dua tiga kedai pulak area tuh. Yang mana satu? Telefonlah.... Hello, kedai  tu yang  mana satu? Dari rumah kita sebelum  jambatan. OK terima kasih. Kita ni dah lepas jambatan. Kena u- turn. A'aa.... Tercari-cari lagi.  Akhirnya tu laaa. Lega... Lepas order makanan dalam15 minit,  maka tibalah  yang ditunggu-tunggu. Heronya ketam, mee hanya pelakon tambahan.
Tadaaaa....... Sedappp
Dalam hidup ini, nak seribu daya. Taknak seribu dalih. Bila kita nakkan sesuatu, kita akan berusaha untuk mendapatkannya  tapi kalau kita tak nak, kita tak suka, banyak le alasan yang kita cipta. Itu ini begitu begini. Betul tak?
Apa kata kita cari jalan untuk baca al Quran setiap kali lepas solat  lima waktu. Dalam sehari semalam kita mengadap fb lebih lima kali kan? Dan kita senaraikan jugak alasan untuk tidak melewat-lewatkan solat yang wajib tuh. Boleh kan?. Solat awal ke, akhir ke, sama ja rakaatnya, bacaannya. Tapi pahalanya lain. Yang awal tu banyakkk. Yang lewat dapat sikit. Nak pahala banyak ke sikit? Kalau ketam kat atas tu saya nak banyak. Awak nak banyak ke sikit.
Fikir la ya.

Sekian, t kasih.

Wednesday, December 28, 2011

Nikmati Hidup (1)

Tiada siapa pun antara kita yang mengetahui bagaimana warna masa hadapan kita. Cerah,mendung,gelap semuanya diluar kemampun kita untuk mengetaui apatah lagi untuk  menetapkannya. Pun begitu, usaha dan doa mesti seiring agar keindahan sang pelangi akan kekal kita nikmati.

Kebahagiaan hari ini juga bukan jaminan untuk kita bahagia selamanya. Sihat, pangkat,kekayaan dan segala kelebihan yang kita miliki belum tentu akan kita miliki selama-lamanya. Jadi,selagi ianya masih menjadi milik kita, marilah kita nikmatinya. Jangan berkira untuk diri sendiri dan orang lain. Mudah-mudahan segala yang kita belanjakan itu akan diberikan ganjaran pahala oleh Yang Maha Esa.

Apa yang diharapkan semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang menyesal kerana gagal menikmati hidup ini, gagal membahagiakan anak isteri dan gagal menyimpan untuk diri sendiri ketika segala nikmat dan kelebihan yang kita miliki  telah tiada lagi.

Perlu difahami, menyimpan untuk diri sendiri bukan bererti menyimpan di bank tetapi  dengan membuat kebajikan dan bersedekah dengan ikhlas .InsyaAllah simpanan tersebut akan menjadi bekalan berguna untuk kehidupan kita di akhirat kelak..

Apalagi? Nikmati hidup...belanja sebaik-baiknya utk kehidupan di sini dan untuk kehidupan di sana.

" cer rajin-rajin massuk pitih dale tabung mesjed ghetek"
Terima kasih.

Sunday, December 25, 2011

2 Hari 1 Malam

Kelmarin, sebaik sampai di Kuala Terengganu, ronda Dataran Shahbandar sekejap. Ada Karnival Hijrah 2011 anjuran bersama Jab Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Terengganu  dan TV Al Hijrah. Lepas tu singgah Pasar Payang dalam10 minit. Seterusnya cari bilik untuk bermalam. Mula-mula ke Primula, kemudian ke Seri Indah resort, seterusnya ke Gem beach resort. Semuanya tak ada bilik kosong. Lepas tu ke Sutra beach resort. Melompat si kecik di bawah bila diberitahu ada bilik kosong.
 
Acara wajib mestilah berendam.


Berendam....berendam.....berendam.
Ada orang senyum sebab takde acara beli belah.

Saturday, December 24, 2011

Bila Kita Suka

Musim-musim cuti begini, kalau makcik bangun jam lima pagi mesti ada projek menarik yg akan dibuat. Kalau tak, pukul 6 lebih baru terkebil-kebil cari bilik air. Macam pagi ni, pukul 5 lebih dah bangun iron baju, lipat kain baju dan masukkan dalam beg dengan segar bugarnya  tanpa rasa mengantuk. Cuti-cuti Malaysia punya pasal, seronoknya macam nak ke London.

OK lah. N3 dah lebih 3 baris. Cukup le tu.
Nak bersiap......yeayy  cuti-cuti Malaysia





Friday, December 23, 2011

Adat le kan......

Sekali bah sekali pantai berubah. Zaman dulu tak sama dengan zaman sekarang. Dulu-dulu pergi sekolah bawak 50 sen dah mewah beli makanan. Sepuluh sen beli nasi, sepuluh sen beli air,. Gulu-gula dah boleh beli dgn duit 5 sen. Sekarang ni cuba bagi kat Ipin 50 sen. Apa yg boleh dibeli. Usahkan nasi, air sirap pun tak lepas rasanya.

Dalam masyarakat, organisasi mahupun negara, ketua yg bertukar ganti pun kadang-kadang tak sama gaya dan cara walaupun hasrat dan harapannya mungkin serupa. Ada yg lebihkan itu, kurangkan yg ini. Lebih yg ini, kurangkan yang itu. Tapi  perlu diingat, ramai manusia memang tidak suka dipaksa. tapi kalau kena gaya dan cara, usahkan kerja berpanas melebihi masa, berhabis wang ringgit  pun tidak dikira.

Selagi bernama manusia, sesiapa pun tetap perlu kpd rakyat biasa walaupun berpangkat, berdarjat, berharta tak habis kira. Jadi tutur kata, tingkah laku usah mengikut sesedap rasa. Manusia kecil di sekeliling kita mesti diambil kira. Apatah lagi si tua lama walaupun pada kita tiada siapa-siapa, takde apa-apa.
Akhirnya, kalau awak suka, saya pun suka. Kalau awak berkira, saya pun sama.

Saturday, December 17, 2011

Winter di Beijing

12.12.2011 - Jam 8.30 pagi bertolak dari KL ke Tianjin. Kelakar pun ada sebab langsung tak kenal ahli rombongan. Dalam balai berlepas baru tercari-cari mana le ahli rombongan kita. Perjlnn KL - Tianjin mengambil masa lebih kurang 6 jam dan kami sampai lebih kurang pukul 3 ptg. Di Binhai airport barulah kami jumpa semua ahli rombongan. 14 dewasa, 2 org kanak-kanak. Selepas solat kami terus bertolak ke beijing yang mengambil masa lebih kurang 2 jam. Sebaik keluar dari bangunan airport, sejuknya... Pukul 6 lebih, kami sampai di Beijing yg mempunyai penduduk 18 juta itu. fuhhh besar gila Beijing...... Lepas mkn dan check in hotel, terus tidur. Letih yang amat sebab mlm sebelumnya hanya tidur-tidur ayam di kerusi McD, LCCT.

13.12.2011 - Breakfast seawal jam 7 pagi. Hehehe ada  ubi keladi rebus, keledek rebus dan labu rebus selain nasi goreng, roti, salad dan lain-lain yg biasa kita jumpa di hotel-hotel di Malaysia. Lepas breakfast terus menaiki bas menuju ke dataran Tiananmen dan forbidden city. Berjln dan ambil gambar  dlm cuaca sejuk yang melampau. Seterusnya mkn tengahari dan ke silk store dan herbal medicine center. Rasa macam lawatan sambil belajar zaman sekolah dulu.  Petangnya kami solat di masjid Nan Dau Ya, sebuah masjid yg dibina semasa dinasti Ming. Sebelum jam  5.30 ptg kami dah terpacak untuk menonton pertunjukan acrobatic. Di depan  ahli rombongan Cik Kiah, kiri ahli rombongan Cik Timah, kanan Cik Leman. Ehh....penontonnya macam semua orang  Malaysia. je. Acara terakhir hari ini adalah mkn mlm dan blk hotel, tidur. Solat dulu lah...

14.12.2011 - 6.30 breakfast dan 7.00 pagi bertolak ke jade n crystal shop. Makcik tak berminat pun dgn jade & kristal ni. Ye ke??? Selepas mkn tengahari dan solat, kami telah dibawa ke great wall. Sempat menaiki beberapa puluh ana k tangga. Sejuk, gayat, tak larat (ada org sakit lutut ke) menjadi alasan untuk kami makcik-makcik, pakcik-pakcik turun menikmati jagung rebus di bawah. Jam 3 ptg kami dibawa ke Summer palace. Sungai tlh membeku. Sejukkk sampai ke tulang. Disini ramai penjual jalanan yg mengganggu pelancong dgn pujukan/paksaan supaya membeli brg jualan mereka. Sgt gigih dan mengekor ke mana kita pergi selagi kita tak beli brg mereka. Perlu berhati-hati cik Kiah, sebab ramai antara mereka  ni suka menipu pelancong dgn memberi baki wang palsu. Makcik pun terkena. Benciii....Dah la mengekor ke mana kita pergi. Pastu tipu pulak. ( kalau rajin, makcik akan cerita di lain n3) Lain kali kalau diorang bagi duit baki, jgn terus simpan. Check dulu satu persatu Cik kiah ya. Hehehe Dari Summer Palace kami berjln kaki ke fresh water pearl center. Selepas tu mkn mlm dan blk hotel.

15.12.2011 - Selepas mkn pagi terus ke Olympic stadium (stadium sarang burung). Bergambar-gambaran dlm kesejukan. Hehehe rasa nak bungkus sampai nampak mata je.. Selepas tu ke kedai permata milik orang Malaysia katanya. Kemudian ke Bazar pakaian, mkn tengahari dan solat di masjid Niu Jie. Seterusnya  ke kedai lagi. Membeli belah di Beijing perlu pandai tawar menawar kerana harga beribu-ribu boleh dibeli /diturunkan menjadi puluhan yuan shj.Tapi membeli belah di sini tidak sesenang seperti di Malaysia. Kalau kita dah sentuh/belek, diorang akan paksa kita beli. Kalau tak, siap le kita kena marah. Bab ni memang tak besttt.... sangat-sangat tak suka.

16.12.2011 - Lepas makan pagi, kemas kain baju dan jam 10 pagi menaiki bas bertolak ke Tianjin. Jam 3.50 ptg menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur. Bye..bye Beijing. Jom layan beberapa keping gambar sepanjang 5 hari 4 mlm di sana.













Bersama ahli rombongan  sebelum bertolak pulang ke Malaysia.
Terima kasih semua. Anda semua sangat cool...

Ain: Taksir gi dah Beijing. Sejukkk.... Baik dok Malaysia, cuaca suam-suam jah....


Monday, December 12, 2011

Lepak Sampai Pagi

Makan, minum
Sembang hingga habis modal
Nak baring tak dapat
Tengok orang  macam-macam gaya
Mengantuk tersengguk-sengguk
Ehh  kejap, kejap.....
Depan makcik ni kan
Ada sorang perempuan
Pakai seluar belang-belang lepas sikit dari punggung
Baju lusuh, leher besar  nampak tuuuut
Rambut bertoncang di tengah
Kalau macam ni lah kat kg makcik, mesti orang cakap sudah.......
Opsss..... maaf






Wednesday, December 7, 2011

Para Gadis Dan Para Teruna Juga...Usah Mudah Percaya

Jika orang yang anda tak kenal atau tak biasa datang kerumah, tiba-tiba muncul depan pintu  rumah anda. Rasa-rasanya boleh percaya ke kata-kata mereka. Kadang-kadang mereka cakap nak minta mempelam, jambu, betik macam-macam lagi lah  yang  tengah lebat depan/belakang  rumah anda. Anda percaya?. Ada jugak yang bawak kain, nak jahit baju le konon-kononnya. Ada yang cakap, eh...kata ayah nak jual kambing, mana kambingnnya, makcik/pakcik  nak tengok. Lama dah makcik/pakcik dok cari nak beli kambing.  Ada juga kejadian, orang yang kita kenal, datang dengan saudara dia yang kita tak kenal. Diorang mungkin cakap, makcik minta tolong sedara makcik ni mari hantar, makcik tak reti bawa motor/kereta. (Padahal boleh je naik teksi/naik bas). Jadi, hati-hati  bila kejadian begitu berlaku. Yang  pura-pura tersilap rumah pun ada. Ni rumah Cik Temah kan. Dia ada di rumah ke?  Padahal takde langsung orang yang nama Cik Temah tinggal brhampiran  rumah anda. Kalau ada sekalipun Cik Temah dekat rumah anda, boleh anda  percaya dia betul-betul mencari rumah Cik Temah? Macam-macam  helah diorang. Konon-konon nak tempah kuih pun ada. Siap nak tumpang bilik air pun ada. Kalau terjadi kejadian-kajadian begitu kepada anda, jangan terus percaya sebab mungkin diorang nak
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
cari  menantu 

Jadi, Jangan le buka pintu/tingkap
"nak jambu/.mempelam, ambik le sendiri"
" Kitorang  tak jual jambu/mempelam. Kalau teringin, pergi le beli kat kedai"
"Takdak sapa reti jahit baju rumah ni. Kita pun tempah kat kedai"
"Bila masa pulak ayah bela kambing, silap orang  le."bumm hempas tingkap.
"Ni bukan rumah Cik Temahlah"  Kedebum tutup pintu.



Sebenarnya, itu cara orang dulu-dulu cari menantu.
Tapi ada jugak orang sekarang guna cara begitu.
Walau apa pun,
akhlak mulia  amalan kita.
Sekian, Wassalam.

Tuesday, December 6, 2011

Mencari Biru Muda

Suka sebab tahun depan Ain tak perlu lagi pakai uniform sekolah warna putih.
Bukan tak suka warna putih tapi bila melibatkan pakaian warna putih amat siksa untuk menjaga keputihannya. Macam tahun lepas, awal tahun dah beli beberapa pasang uniform sekolah. Bila sampai setengah tahun, semua yang putih melepak tu dah jadi kelabu kelat (masa tu belum pasang penapis air lagi). Jadi, sebagai ibu yang prihatin (muntah dlm bilik air ye...perasan gila makcik nih) makcik berusaha untuk menyelamatkan keputihan baju-baju tersebut dengan macam-macam pemutih yang  ada dalam pasaran. Tapi satu pun berkesan. Makcik jugak ada  letak air limau kasturi pada baju-baju tersebut tapi keputihannya tetap tidak terserlah. Baju-baju tu tetap suram macam dah pakai sepuluh tahun. Nasib baik makcik tak lumur garam, gula atau pun rendam dalam cat putih. Melampau makcik nih. Last sekali makcik terpaksa beli baju baru. Selesai masalah.  Tapikan, nama pun budak. Bila pakai baju putih bukan pandai nak jaga. Ada je benda tercalit sana, tercalit sini yang menyebabkan kita kena sental bagai nak rak. Apapun alhamdulillah hingga akhir tahun lepas, baju-baju yang dibeli pertengahan tahun tu masih lagi putih sebab air dah cantik.Memang berbaloi guna penapis air tu.

Tahun depan  Ain pakai baju biru. Mengikut surat yang cikgu bagi,  dia dipilih jadi pengawas bestari. Baju biru muda, kain biru tua, kasut hitam, tudung biru muda. Masa makcik sekolah dulu hanya ada pengawas sekolah dengan pengawas pusat sumber je. Sekolah makcik sekarang ni  pun takde pengawas bestari.
Ain, pengawas bestari tu sama dgn pengawas pusat sumber ke?
Tak. pengawas p. sumber sek ain pakai baju purple.

Jadi kelmarin kami tiga beranak mulakan misi mencari baju biru. Susah jugak nak cari sebab tak tahu tahap  kebiruan yang dimaksudkan. Ain cakap sebelum ni takde lagi pengawas bestari. Entah ye entah tidak. Dia ada juga bersms dgn kawan-kawan sekolahnya dan diberitahu baju tu ada di kedai sekian-sekian. Bila makcik pergi, memang ada baju warna biru tapi tak tergamak nak beli. Macam jahit sambil tutup mata. Last sekali makcik beli baju biru yang ada di kedai canggih. Cantik tapi beli sehelai je. Tudung pulak takde di kedai tu. Makcik teruskan misi mencari tudung di Bazar Tok Guru. Pusing sana pusing sini tapi tak jumpa. Masa nak turun dari bazar tu, nampak beberpa helai  tudung sekolah bergantung.
Mokcik, tudung sekolah warna biru ada ke?
Takdak mek wei. aaaaa gini, gini...mek masuk lorong kanan deppan tuh. pahtu sebelum tangga, kona kanan. Sittu banyak jual baju sekolah, tudung biru pun ada..

Tak jadi turun, saya mengikut arahan makcik tu. Alhamdulillah memang banyak  uniform sekolah. Dan makcik beli sehelai tudung yang sama warna dengan baju. Dah cakap dengan Ain, kalau cikgu cakap OK, baru kita pergi beli lagi. Kain? Takyah beli dulu sebab kain biasa tu pun dah warna biru tua. Jadi pakai yang tu dulu. Kalau cikgu kata OK warna tu, baru kita pergi beli. Kasut dan stokin no problem, boleh dibeli kat mana-mana je. Alhamdulillah beres.

Sunday, December 4, 2011

Kalaulah Mimpi Jadi Nyata

Malam tadi  makcik mimpi  jumpa Sami Yusuf  main salji. Hehehe. Sampai menggigil-gigil sejuk.
OK nak keluar kejap. Ambik Ain dari kelas tuisyen.
Assalamualaikum.

Saturday, December 3, 2011

Bila Tinggal Berdua

Malam tadi walaupun tidur di katil king size tapi macam tidur di  katil bujang. Kejap-kejap makcik sound : tepi le sikit. Tak lama lepas tu : tepiiii le sikit. Pagi tadi masa makcik keluar dari  bilik air, teman sekatil malam tadi dah bangun, dah tercongok depan TV. Aik awalnya bangun. Lepas dua-dua solat subuh: Ummi,  nak makan apa pagi ni? Lapar.   Ehh....celik mata terus nak makan. Kejap le, awal lagi ni.

Aktiviti pagi berjalan dengan sorang satu laptop. Saya dalam bilik dan si kecik tu depan TV. Tengok kartun sambil bergame itu bergame ini dan sekali sekala bunyi macam lagu yuna. Lebih kurang pukul 7 makcik turun bawah. Buka periuk, ada nasi sikit. Nak goreng sikit sangat. Buka kabinet, ada sikit bihun. Jadi pagi tadi makcik kawinkan nasi dengan bihun. Makcik gorengkan kedua-duanya. Pastu  goreng keropok dan bancuh tea O. Yang sikit dah jadi banyak. Boleh ngulang dua tiga kali. Hehehe  Dah kenyang,  masing-masing ambik tempat masing-masing dengan dua-dua belum mandi.

Ain, tengahari nanti kita makan bihun kawin ni lagi ye. Opsss.... tengahari ni ada kenduri.  Olalaa.......

Thursday, December 1, 2011

Annano Muricata Dan Dokong



annano muricata / durian belanda.

Dulu pokok durian belanda ni memang banyak di sekitar rumah makcik. 
Masa tu buah ni takde harga. Murah yang amat. 
Sekarang ni, sekitar rumah makcik dah takde langsung pokok ni.
Dan harganya sekarang punyalah mahal.
Pokok dokong pulak, dulu  tak banyak sekitar  kampung makcik.
Harganya masa tu sangat le mahal. 
Jadi ramailah orang kampung tanam pokok dokong. 
Sekarang, kebanyakan rumah ada pokok dokong.Alhamdulillah menjadi, subur, lebat buahnya.
Tapi  harganya  sekarang murah le pulak. 



Dulu durian belanda tak sedap. Sekarang sedappp
Dulu dokong sedappp. Sekarang tak sedap.

Alhamdulillah

Talian telefon dah pulih.
Jadi dah boleh online seperti sediakala.
Yeayyy...... seronoknya

Tuesday, November 29, 2011

eh.... saya menangis tengok ustazah pilihan

1.Bila kita sakit, syukur kerana kita baru sakit sedangkan ramai orang lain  telah terlantar sakit  bertahun-tahun.

2.Kita merawat/berubat  tapi penyembuhnya adalah Allah.

-- Ustazah Pilihan

pilih yang gila

Tips  mencari pasangan hidup. Opss..... bukan mencari tapi memilih. Sebenarnya tipsnya byk tapi sebab streamyx  belum pulih, saya  nak sebut satu je kat sini. Siapa yg tengah berkira2 mendarab, menolak, menambah dlm memilih pasangan hidup, sila ambil perhatian. Pilihlah orang yang suka atau tergila-gilakan kita. Ihh.......rasa nak gelak le pulak. Betul, jangan pilih orang yang kita je yang tergila-gilakannya. Dia tak suka dan tak gilakan kita. Faham ke? Alaaa....... pilih yg gilakan kita. jgn pilih yang kita je gilakan dia. Sama jugak ayatnya. hehehe. Rasionalnya? Lu fikir le sendiri.



Walau apapun, agama tetap no satu!!!

Monday, November 28, 2011

belajar tinggi tidak semestinya cerdik, sekolah atap tidak bererti bodoh

Dua kepala lebih baik dari satu kepala. Banyak kepala lebih baik dari dua kepala. Sebab tu Islam menganjurkan kita supaya bermesyuarat. Mak Temah, En Aizat, jangan ikut kepala kita seorang  je walaupun kita rasa kepala kita yg paling bagus dan berkualiti. Dalam keluarga perlu  bermesyurat, dalam organisasi pun perlu bermesyuarat. Barulah keputusan yang dicapai memuaskan hati semua  dan InsyaAllah mudah-mudahan ianya menjadi keputusan yang terbaik untuk semua.

Sunday, November 27, 2011

sampai bila kita nak biarkan begini

Sudah hampir seminggu kabel telefon di kg makcik   kena curi.  entah kali yang keberapa makcik dah tak ingat. Apa nak jadi dgn negaraku ini. Kegiatan mencuri dah jadi semacam satu kerjaya. Semua benda dari periuk belanga, kain baju, pisang, kelapa di pokok harta manusia pun sanggup dicuri

Dan amat malang kawasan kg sekalipun sudah tidak selamat untuk kanak-kanak bermain seperti zaman makcik kecil-kecil dulu. Malah  kaum hawa juga akan berfikir 15x sebelum membiarkan pintu rumah terbuka ketika kaum adam tiada di rumah. Kalau dulu makcik dengar orang di bandar je yang hidup terkurung macam penjara begitu. sekarang ni, makcik di kg ni  pun hidup berkunci bermangga hampir 24 jam.  Kesian kita.

Siapa yang bersalah dlm hal ini? Menuding jari sana sini pun tidak menyelasauikan masalah.. Yang pasti inilah akibatnya bila ahli rumah dan ahli masyarakat ridak menjadikan al quran dan hadis sebagai panduan hidup. Ibubapa hanya memikirkan bagaimana untuk memastikan anak- anak cukup makan minum dan pakai tanpa mengambil kisah   tuntutan agama terhadap seluruh ahli keluarga (bukan semua). Percayalah akan sampai masanya nanti anak anak akan malu untuk melakukan kebaikan dan tidak segan silu untuk melakukan kejahatan.bercakap banyak pun tak guna. sepatutnya kita sama2 mencari jalan  penyelesaian agar kegatan yang menyesakkan dada ini dapat dibendung.

Berbalik kpd kegiatan mencuri kabel telefon, begitu ggih mereka mengait dan memotong  bukan sahaja yg terpasang di tiang tetapi juga yang tertanam di dalam bumi. gigih kan? Kalaulah kegigihan itu untuk mencari rezeki yang halal. alangkah baiknya. Sekali lagi, cakap banyak pun tak berguna. Makcik berhenti di sini dulu. Akhirnya,
Sayangilah seluruh ahli keluarga kita dan selamatkan mereka dari api neraka.

Friday, November 25, 2011

memang musim

Salam
Hari ni dua
Esok tiga
Lusa dua
Kenduri...kenduri....kenduri
T.kasih






Tuesday, November 22, 2011

Friday, November 18, 2011

Satu Sama

Hari ni cuti sekolah dah bermula. Dan hari ni jugak rumah kuning terima tetamu dari Temasik dan pulau mutiara. Tak nak cerita pasal tu. Yang makcik nak cerita  adalah pasal benda berwarna oren kat bawah. Dua minggu lepas, species ini  telah beradu kekuatan dgn hero kat rumah kuning hingga menitik-nitik darah di jari dan terpaksa berjumpa doktor dek kesakitan yang bukan sedikit. Hari ni, makcik terlebih rajin sikit. Nak masak le utk tetamu yang baru sampai. Sebelum menyentuh makhluk yang masih bergerak-gerak tu,  makcik dah ambik langkah keselamatan. Makcik matikannya terlebih dahulu. Selepas dah berpuashati, barulah makcik pegang untuk menyiang dan membersihkannya. Tiba-tiba..... uwaaa .... dia gigit/sepit jari makcik dengan gagah perkasanya. Ingatkan dah mati. Apalagi, makcik menjerit memanggil hero yang tewas dua minggu lepas. Mesti tetamu makcik  cakap, apa le bini dia ni menjerit macam guruh terkejut kerana tidak menyangka makcik yang lemah lembut ini boleh menjerit sedemikian rupa. Sakit wei. Kalau panggil ghupe berbisik, sapa nak dengar. Lama lagi le dia menyepit jariku ini.

Tapi makcik takde le sampai gi klinik. Hehehe berlagak lagi nih. Padahal baru kena sepit dengan ketam yang dah koma. (koma koma pun, bengkak jugak jari makcik) Kalau kena dengan ketam yang masih segar bugar macam orang tu 2 minggu lepas, rasanya menjejes air mata makcik sehari semalam.
 
mentang-mentang le sepit kau ni tajam, asyik nak menyepit je ya.

Tuesday, November 15, 2011

Pastikan Anda Buat Yang Terbaik

Dua hari dah berlalu dgn bermacam-macam ragam calon SPM. Esok hari ketiga, Sejarah 1, Sejarah 2 dan Tasawwur Islam 2. Mudah-mudahan segala usaha kita selama ini membuahkan kejayaan yang cemerlang.


Hanya doa mengiringi anda.....

Monday, November 14, 2011

Terbayang-bayang

Juadah di Makkah Al Mukarramah. Sangat simple.
Makan dua/tiga kali sehari  tapi tak pernah muak.
Sebungkus kongsi berdua. Digandingkan pula dengan jus mangga yang pekat..

Inilah rupanya. Lembut....Sedap yang amat w/pun tanpa kuah.




Ada lagi yg lebih nikmat.
Bila kaabah di depan mata. Syahduuu.......

Friday, November 11, 2011

Bajet Waktu Untuk Bermalas-malasan

Menurut pakar motivasi,(pernah baca tapi tak ingat siapa) kita boleh bermalas-malasan tetapi pada masa dan dalam tempoh tertentu yang kita boleh kawal. Maksudnya selepas kita penat bekerja, kita boleh ambil masa untuk tak buat apa-apa atau hanya buat benda-benda kita suka.. Alahai seronoknya. Dalam tempoh bermalas-malasan itu, kita boleh berbaring dua tiga jam depan TV, tidur siang dua tiga kali sehari, belek majalah patlima buah dan yang bestnya kita tak perlu fikir pasal kerja.Tapi jangan sampai perasaan malas yang mengawal diri kita.Kalau "semedang" je malas, tak berasap le dapur Cik Siti wei. Hehehe. Apa yang diharapkan selepas tamat tempoh bermalas-malasan itu kita akan lebih bertenaga dan bersemangat untuk bekerja.Inilah yang dikatakan malas cara bijak.




Bermalas-malasan sama ke dgn berehat?

Sayangi Diri

Kalau begini, semua orang nak, semua orang terliur.



Tapi kalau dah jadi macam pic di bawah, dah le takde orang nak.
Bila gugur, menjadi sampah yang busuk.
Dan akhirnya hanya lalat yang seronok hinggap.
Jadi, jaga diri.....

Tuesday, November 8, 2011

2012 Kian Hampir

Raya ketiga. Kita masih boleh berkorban hingga esok.
Hari ni SMK Panji dah buka macam biasa,
Esok kedua-dua dewan akan dibuka dan disusun.
Khamis pengawas periksa akan melawat pusat.
Majlis Izin Ilmu pelajar SPM juga pada hari yang sama.
Khamis juga ada majlis Sambutan Hariraya.
Dan Khamis ini juga ada majlis menyambut pengetua baru.
Ahad cuti keputeraan Sultan Muhammad keV.
Dan Isnin 14.11.2011 bermulalah periksa SPM yang ditunggu-tunggu.
17.11.2011 hari terakhir persekolahan 2011.
14.12.2011 hari terakhir SPM.
Cepatnya masa berlalu.
Kita semakin tua dan semakin dekat dengan MATI.

Monday, November 7, 2011

Raya Kedua

Alhamdulillah kelmarin beraya dengan cuaca yang amat baik. Kanak-kanak bebas berlarian dgn baju baru dan orang dewasa tidak perlu berbasah melapah lembu. Seekor lembu berjaya dikorban. Semoga diterima Allah hendaknya. Kali ni, takde lembu menjadi model di blog ni. Malas nak ambik pic lembu bertuah.
Kelmarin, lepas sembelih, bagi bagi daging, masak, makan. Semua tu berlangsung di rumah biasa, bukan di rumah kuning. Lepas zuhur pergi rumah MIL, petang balik dan malam tidur. Hari ni macam sunyi je. Tak nampak pun budak-budak pakai baju raya. Orang tua lagi le. Ihhh... rasa macam beraya di k.lumpur le pulak.

Saturday, November 5, 2011

Happy Birthday Sayang

5.11.2011 genap 9 tahun.
Semoga selamanya menjadi penyejuk mata ummi dan abah.

Friday, November 4, 2011

Jom Kita Bergembira

Hari ni hari memasak sedunia. Merapu lagi lah makcik ni. Tergoda dengan Sami Yusof rancangan Master Chef Malaysia le gamaknya. Bagus jugak kan. Rajin le makcik masak dua tiga hari ni. Atie, sila muntah dalam bilik air. Ada orang perasan.... Hehehe Sebenarnya terjeles dengan orang tu yang dah banyak kali tunjuk kehandalan dia masak hingga semua orang menjilat jari.
Jadi hari ni pagi pagi lagi makcik ke pasar seolah-olah makcik yang nak berjualan di sana. Masalah betul le bila sekali sekala pergi "kedai nad" ni. Macam-macam makcik berkenan ala-ala orang mengidam. Semua nampak segar dan mula terbayang nak masak itu, nak masak ini. Haru betul.... Ayam kg nampak sedap, puyuh, ketam, udang, ikan sungai yang masih berkelip-kelip yg sekor pun saya tak kenal nama, sayur kg dan ulaman segar yg macam-macam jenis. Semuanya nampak manis di hati makcik. Itu belum termasuk lagi buah "katak puru" (nam nam), rambai, durian belanda, duku "tahi ayam". ihhh... semuanya teringin. Nasib baik pergi dengan en suami, boleh dia tolong berkiri kanan membawa barang masih boleh bersabar dan tidak diborong semua yang disebut itu. Sempat le jugak mengingat pesanan ustaz semasa sekali sekala mendengar ceramah agama. "Ada pun orang yang membazir itu saudara syaitan". Kalau beli semua tu, confirm akan membazir sebab yang nak makan di rumah hanya tiga mulut je. Nasib baik teringat. Hehehe


Yang ni memang tak boleh ditahan-tahan. Nak beli dan nak nak masak jugak.

Ini pun sama. Wowww kuning.

Ada kaitan ke dgn tajuk? Mesti le....
Sangat gumbira ala-ala shopping kasut & hbag di Sogo rasanya pagi tadi.

Wednesday, November 2, 2011

Ku Tak Tahan Dengan Godaannya

Petang tadi saya terima satu bungkusan dari ibu anggun kepada tiga orang anak. Kak jie, terima kasih banyak-banyak. Comel macaron tu....tak sabar nak makan. Sebelum simpan di dalam peti sejuk seperti yang disarankan, kami dah ngap sorang satu. Hehehe. Sebenarnya saya dah ikuti blog HIDUP BIAR SEDAP sejak 2007 kalau tak silap. Masa tu kak jie masih guna blogspot. Macam-macam saya belajar dan ambik dari blognya. Patutnya saya yang bagi hadiah kepadanya selaku cikgu saya. Tapi dah jadi terbalik. Cikgu yang belanja sakan kepada anak murid. Sekali lagi kak jie, terima kasih banyak-banyak. Semoga dimurahkan lagi rezeki dan sentiasa di dalam keberkatan dan keredhaan Allah swt.


Ini dia macaron comel yang membuatkan kami sekeluarga tak tahan dgn godaannya.

Tuesday, November 1, 2011

Macam Nak Lepas Perasaan

nak tulis/cakap macam-macam.
tapi .....


huhhh pening!!!


semua orang ada alami situasi tak seronok begini. awak pun cik bedah kan? sebagai insan yg lemah, berdoa je lah semoga dicampakkan ketenangan ke dlm jiwa kita. Tak perlu memburukkan lagi keadaan dgn kata-kata atau perbuatan yang boleh mengurangkan markah kita di sisi tuhan.


makcik dok di husm ni.
macam biasa ada temu janji.

Thursday, October 27, 2011

Say No To

KeTaT
JaRaNg
SiNgKaT


Boleh??? Boleh atau tidak, mesti boleh. Wajib boleh. Tolong kesiankan diri sendiri. Susah di dunia, InsyaAllah ada yang simpati, ada yang menolong. Tapi siksa di akhirat, sapa nak tolong? Siapa boleh tolong? Silap-silap haribulan ngan mak bapak suami sekali masuk neraka kerana dosa kita. Kesian kan.... Padahal ketat, jarang dan singkat tu tak menyumbang pun kepada kecantikan atau keayuan kita kalaulah kita pakai semua tu untuk tujuan tersebut.

Dah pakai macam tu, tutup-tutup muka, nyorok belakang tiang pulak. Why? Malu rupanya. Yang ada di kiri kanan tu, tak malu? Ishhhh.... Yang langsung tak malu pun ada jugak.

Sekian sahaja tazkirah lepas Zuhur hari ini. Wassalam.

Jangan Paksa Aii....

Hari ketiga cuti Deepavali..
Masih ada dua hari sebelum sekolah dibuka. Sehingga hari ni, makcik baik2 je dok di rumah kecuali ada le keluar KB kejap ngan Ain. Dah janji, terpaksa le pergi. Selebihnya banyak dok di rumah, buat kerja surirumah yang sangat best dan merantau dari blog ke blog. Dalam merantau sana sini tu, terjumpa satu blog yg meminta pengunjung blognya bayangkan bila kita masih bekerja ketika umur dah 60 tahun. Hehehe Sebenar-benarnya makcik pun tak suka. Dalam umur sekarang pun asyik membilang hari nak cuti sesaja, apatah lagi bila umur 60 tahun. Makcik selalu bayangkan bila masuk je kelas, mesti ada anak murid cakap : Alaa... nenek ni dah masuk. Kwang...kwang...kwang...nenek wei. Bila gelak pun dah ghupe nangis je masa tu. Agaknya le. Taknak...taknak... Nak naik turun tangga tingkat empat lagi. eeee... semput. Ini pendapat makcik dgn situasi dan kerja makcik sekarang. Orang lain makcik tak tahu. Tapi...kalau kerja makcik menyain shorat je, makcik pun nak sambung sampai 60 tahun. 70 tahun pun boleh. Hehehe


Apapun, dah keja dgn orang.
Kena le ikut orang. Uwaaa....

Monday, October 24, 2011

Tak Bijak Tapi Rajin

Yang penting nak cakap di sini "Ramai orang berjaya bukan kerana bijak tetapi kerana rajin". Betul ni. Tak caya, sudah.....
Hari ni cuti, esok cuti, lusa cuti, tulat cuti, tubin pun cuti. Yeayyy.....Orang lain beraya, kita menumpang cuti. Hey budak-budak, buat kerja yang saya bagi. Jgn gi KB Mall, jangan gi Tesco, jangan gi Billion.Jangan gi mana-mana. Dok rumah jawab soalan yang cikgu bagi dan baca buku banyak-banyak. Jangan berFb jugak. Boleh? Saya pun dok rumah jugak ni. Tanda kertas ting 4 dan kalau sempat buat jadual bertugas sepanjang SPM. OK ye.... jangan merayap ke mana-mana.
Wassalam

Sunday, October 23, 2011

Sikit Kita Bagi, Allah Bagi Banyak

Hari ni jam 2 hingga 4 ptg saya diminta mengambil alatan periksa SPM di bilik kebal PPD. Dah terbayang dalam kepala, mesti berkotak-kotak barang yang mesti diambil. Nak mencari kotak-kotak yang bercampur gaul semua sekolah tu satu hal. Berat pulak tu. Kalau sebelah pagi, mesti saya ajak kawan. Tapi bila disuruh ambil sebelah petang begini, kesian pulak. Takpe lah.... saya pergi seorang diri. Seboleh mungkin, saya tak nak menyusahkan kawan.
Sebaik sampai di tempat biasa,
Cikgu nak ambik barang SPM ke STP?
SPM.
SPM belakang tuh. Sini barang STP.
OK...
Sampai di tempat yang ditunjukkan, dah ramai rakan-rakan setugas tengah mencari barang-barang utk sekolah masing-masing. Ada barang dalam sampul, ada dalam plastik dan ada dalam kotak. Selepas memerhatikan dua tiga saat, saya memulakan misi. Mula-mula belek barang dalam plastik yang berlonggok atas lantai. Dua tiga kali selak, dah jumpa dua plastik yang tertulis pusat 38 dan 64. Alhamdulillah. Lepas tu belek pulak barang yang bersampul. Tak sampai seminit, dah jumpa dua sampul yang tertulis SMK Panji. Suka...suka...... Lepas tu, pergi pulak tempat cikgu-cikgu tengah berbaris.
Nak ambik gapo sini eh? Saya tanya seorang cikgu.
Jadual.
OOO...
Selepas beratur tigapat minit, dah dapat jadual mengikut bilangan calon SPM sekolah saya. Sekotak lebih jugak jadualnya. Yang terakhir sekali, buku jawapan, helaian tambahan dan entah apa-apa lagi yang berkotak-kotak itu. Mula-mula saya perhati je. Macamana nak cari ni??? Banyaknya kotak. Tahun lepas saya datang berdua. Pakat-pakat cari. Hari ni sorang. Uwa.... Dalam hati, takde ke pekerja kat sini yang boleh tolong. Tu dia...Nampak sorang laki macam pekerja kat situ. Saya mendekatinya.
Nak cari ghano eh? Banyak gitumo kotak nih. Cewaah...pembuka bicara.
Kak pusat no berapo?
38 denge 64.
Kejap deh.... tigoplapeee... tigoplapeeeee.... nih tigoplape. Ada tiga kotak.
So lagi berapo dah?
64.
neplohpak........ neplohpak manno eh? Dia tanya kawannya.
Neplohpak? neplohpak ujung nuh.
Dia terhendap-hendap mencari di celah-celah kotak yang banyak itu.
Ni kak...neplohpak. Ada 4 kotak.
Saya angkat satu kotak untuk diletak di luar bilik. Berat yang amat. Tapi terpaksa jugak angkat supaya senang untuk masukkan dalam kereta. Dalam hati...beratnya. 2 pusat 7 kotak. Campur pulak jadual satu kotak. Jadi 8 kotak. Barang dalam plastik lagi. Tengah dok berkira-kira, dengan tidak disangka-sangka, pekerja yang tolong cari kotak tadi dengan gagahnya tolong angkat kotak saya. Satu...satu.. satu... semuanya dia angkat dan dikumpulkan di satu tempat di luar bilik. Huhhh legaaa saya.
Kereta kak dok manno?
Belakang tuh.
Kak gi ambik kereta, letak dekat nih.
Ok.
Lepas meletak keta sehabis dekat dengan barang yang bertimbun-timbun itu, sekali lagi dengan tidak berkiranya dia datang sumbatkan semuanya dalam kereta saya.
Berat nih. Conggek kereta. Katanya.
Takpelah. Asalkan muat. Kata saya.
Kelegaan berganda............

Saya kesian dan taknak menyusahkan kawan saya. Sikit je.
Tapi Allah tolong saya. Banyaaaaak....
Alhamdulillah.

Saturday, October 22, 2011

Gelilah...Tak Ada Nama Lain Ke?

Berbelas hari lepas.
Ummi, jom le main.
Taksir.
Main le.
Taksir.
Akhirnya dia main ngan abahnya.
Harini
Ummi, mari le main.
Taksir.
Mari le.
OK.....OK. Ummi main.
Berapa ummi kena bayar?
Nanti Ain kira.
Nak tahu kami main apa?
V
V
V
V
V
V
V
VIni dia
Atas sekeping kertas A4 macam-macam ada
Ada jadual bayaran
Ada sampul tempat simpan duit.
Kat atas sebelah kanan tu, siap ada kata-kata semangat.

Seploh sen sehari.
Diorang dah ada RM1.70 sen.
Jadi, saya kena bayar sekaligus jumlah yang sama.
Hehehe kami main kutu. Tak sedapnya nama.
Mak kutunya budak darjah tiga.

Friday, October 21, 2011

M#$%^%^&......B*()!%.......B<>?&^%.....

Semuanya tu tak elok disebut, tak elok ditulis.
Tapi macam nak sebut dan nak tulis jugak.
Haihh.... Tak puas hati.
Tak puas hatiiiiii.

Sungguh Tak Ayu


Tu dia....luasnya nganga. Hujan-hujan redup ni memang lapar sesaja. Betul tak? Ke saya je yang asyik lapar? Awak pun sama kan? Bukan setakat tu je. Penyakit malas pun menjadi-jadi jugak dalam cuaca yang sejuk nyaman begini. Saya le tu. Kerja banyak yang tak settle tapi sangat berat untuk menyiapkannya. Tolonggg..... Bila nak rajin nih? Ada benda ke yang bertenggek atas kelopak mataku ini. Beraaat dan asyik nak tidur je ni. A'uzubillahiminassyaitonirrajim 3X. Makcik nak taip surat, nak tanda kertas, nak tulis buku gemok yang tak hantar khamis lepas. Macam-macam le makcik nak buat.
Permudahkanlah ya Allah.



Tak dapat murtabak raja, karipap + teh o pun sedap.

Monday, October 17, 2011

Anda Orang Yang Terhormat?


Orang yang terhormat itu, kehormatannya sendiri melarangnya berbuat jahat. Jadi, cuba renung dan congak tambah darab kerja buat masing-masing. Usah tunggu orang lain bagi markah. Bukankah bagi markah untuk diri sendiri itu lebih seronok.


Akal......tolong
Jgn terpedaya dgn nafsu.