Tuesday, August 28, 2007

Allah yang menentukan segalanya

Buah hatiku

Ada ketikanya tatkala aku bersendirian,tersingkap kembali kenangan suka duka semasa usiaku masih kanak-kanak, dan seterusnya remaja. Betapa jauhnya perbezaan dunia kanak-kanak dan remaja seangkatanku jika dibandingkan dengan kanak-kanak dan remaja zaman sekarang. Berbekalkan wang saku sekecil 20 sen, aku setia menghabiskan enam tahun pembelajaran di sekolah rendah tanpa mengenal erti ponteng. Seterusnya dengan berhujan dan berpanas, aku menyambung pembelajaran di sekolah menengah. Masih terbayang penat jerih aku dan rakan-rakan mengayuh basikal saban hari di jalan yang berdebu merah ketika bercuaca panas dan berselut likat ketika turunnya hujan. Namun itu semua tidak melemahkan semangatku untuk terus belajar mencari ilmu. Segalanya aku lalui dengan redha sehinggalah aku dan rakan-rakan berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Terimakasih untuk ayah, ibu dan kedua-dua abangku, tidak lupa guru-guruku.


Ketika itu, hanya impian dan cita-citaku yang menjadi pendorong untuk aku terus menggapai sebuah kejayaan demi kejayaan. Sebagai remaja kampung yang merupakan anak ketiga dari tiga orang adik beradik ( aku mempunyai dua orang abang ), tinggal di sebuah rumah kampung yang sederhana, yang ketika itu masih menggunakan perigi dan timba, tanpa peralatan elektrik kecualilah seterika, menjadikan aku seorang remaja yang mengimpikan segala-galanya. Aku impikan jawatan yang bergaji bulanan ribuan ringgit, semoga nanti dapat aku miliki rumah cantik yang berbilik-bilik, dilengkapi pula dengan perabut dan alatan elektrik yang canggih. Aku impikan juga kereta yang besar menjalar. Dan sekiranya dipertemukan jodoh, aku impikan seorang suami yang baik. Bukan setakat itu, aku impikan anak-anak yang ramai kerana semasa kanak-kanak dan remajaku, aku sentiasa kesunyian kerana pada masa tersebut kedua-dua orang abangku belajar dan bekerja di luar negeri Cik Siti Wan Kembang. Segala-galanya ingin aku miliki....


Kini, alhamdulillah aku telah miliki pekerjaan yang baik. Aku juga telah miliki rumah tempat berlindung dari hujan dan panas, walaupun tidak besar tapi "saya suka rumah saya", ada kereta walaupun tidak menjalar-jalar. Ada suami yang baik, ada segala-galanya yang sesuai dengan keperluanku. Hanya satu yang belum aku milik... anak-anak yang ramai sebagaimana impianku suatu ketika dulu.


Duhai hati, usah bersedih dengan kekurangan yang satu itu. Setiap ketentuan Allah pasti ada hikmahnya. Jika dihitung nikmat Allah yang telah dikurniakanNya, sudah tentu kita tidak terhitung kerana banyaknya nikmat tersebut. Apalah sangat kekurangan yang satu itu. Jika itulah ketentuanNya, kita tidak mampu mengubahnya........

1 comment:

Sang Pencinta said...

Sayu and sebak mie baca..