Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak ialah orang yang boleh menguasai diri dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Orang yang lemah ialah orang yang mengikut kehendak hawa nafsu dan banyak berangan-angan kepada Allah".
Menguasai diri dan beramal untuk kehidupan sesudah mati ialah dengan melaksanakan segala amalan yang mendapat keredhaan Allah, yang memungkinkan pahala amalan itu terus mengalir kepadanya sesudah mati. Dengan itu, orang yang bijak akan mengatur masa hidupnya dengan mengerjakan amalan yang sentiasa mengalir pahala kepadanya secara terus menerus.
Sayugia diingatkan bahawa segala nikmat di dunia adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan nikmat akhirat. Justeru itu, mereka yang berakal dan bijak sahaja yang dapat memandang jauh ke hadapan dan tidak terpedaya dengan nikmat sementara yang ada di dunia ini. Mereka sedar bahawa di akhirat kelak, tiada siapa yang boleh memberi pertolongan kecuali amalan yang telah disiap sediakan semasa di dunia.
Sementara itu, orang yang lemah ialah orang yang masih belum sempurna iman dan akal fikirannya di bawah kekuasaan hawa nafsu. Mereka sengaja melupakan bahawa kematian akan tiba pada bila-bila masa sahaja.
Berangan-angan kepada Allah pula bererti pandai berdoa dan bermohon tetapi tidak mahu beramal dan bekerja untuk dunia dan akhirat. Mereka termasuk ke dalam golongan yang pemalas, lemah dan menipu diri sendiri. Golongan pemalas dan suka berangan-angan ini bukan sahaja merosakkan diri sendiri bahkan merosakkan kemajuan masyarakat dan kemuliaan agama Islam.
Kesimpulannya, sebagai seorang yag berakal dan bijak, kita hendaklah menguasai diri dan berusaha untuk kehidupan di dunia tanpa mengabaikan kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Kita juga mesti ingat bahawa angan-angan tanpa usaha adalah sia-sia dan orang yang lemah ialah orang yang tunduk di bawah kekuasaan hawa nafsu. Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment