Monday, November 26, 2007

Oh Anak

Setiap kali menjelang hariraya atau apa jua jenis cuti, pasti terdetik di hati kecil ibu bapa “balikkah anak-anakku?”. Dan betapa berbunganya hati mereka andai ada perkhabaran bahawa anak-anak akan pulang menjenguk mereka. Jadi, kepada anak-anak yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa, gembirakanlah hati para ibu bapa dengan mengorbankan sedikit kesibukan anda yang sememangnya tidak berpenghujung itu. Ketahuilah, Allah menjanjikan pahala yang lumayan di akhirat kelak kepada anak-anak yang menggembirakan ibu bapa mereka.

Sayugia diingat, kasih sayang ibu bapa adalah hutang yang tidak pernah dapat dibayar oleh seseorang anak. Namun ramai anak yang cuba mengungkit setiap pemberian mereka kepada kedua-dua orang tua. Tidakkah anda sedar, kehidupan yang dikecapi sekarang bermula daripada setitis air mani ayah dan keredaan seorang ibu menanggung derita sepanjang kehamilan, bersengkang mata menjaga dan merawat tanpa mengira waktu dan ketika. Jika dapat dihitung segala jasa mereka, pasti kita takkan mampu membayar balik jasa mereka.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama dari berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata:Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad:Apakah perbuatan yang disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi? Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
.Rasulullah pernah menangis hiba mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.” Rasulullah telah memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.”

Sedarlah rakan-rakanku sekalian, orang fasik yang memulia dan menghormati ibu bapanya adalah lebih dikasihi oleh Allah daripada orang yang terkenal banyak ibadatnya tetapi menderhakai kepada ibu bapa mereka. Ini kerana orang-orang yang melanggar hak Allah berpeluang mendapat pengampunanNya sedangkan orang-orang yang menderhaka terhadap ibu bapa tidak akan diampunkan oleh Allah sehingga ibu bapa sendiri yang memaafkannya.
.
Kembalilah kepada ibu bapa dengan hati yang ikhlas, sebelum segalanya berakhir dengan kesedihan dan penyesalan sepanjang hayat. “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayah ibumu”! Satu prinsip yang diajar oleh Rasulullah sebagai ingatan bahawa kebahagiaan anak itu bermula daripada hati ibu bapa yang reda.

Sunday, November 25, 2007

Jom Bersedekah

Bantulah orang yang dalam kesusahan

Tolonglah orang yang dianiaya

Berilah makan orang yang kelaparan

Berilah minum orang yang kehausan

Ziarah orang yang sakit

Iringilah jenazah

Tuntunilah orang yang buta

Berilah petunjuk orang yang bingung

Muliakanlah tetamu

Berbuat baiklah kepada jiran tetangga

Hulurkan wang anda

Hormatilah orang yang lebih tua

Sayangilah orang yang muda

Berbicaralah dengan kata-kata yang baik

Hindarilah dari menyakiti hati orang lain

Buanglah halangan di jalanan

Senyumlah kepada sesiapa yang anda jumpa

Suruhlah orang melakukan kebaikan

Laranglah orang daripada melakukan kejahatan

Friday, November 23, 2007

Wednesday, November 21, 2007

Yang Pasti


Cukuplah kematian itu sebagai penasihat

Peranan Kita

Yang pekak membakar mariam
Yang kurap memikul buluh
Yang patah menjaga jemuran
Yang buta menghembus lesung
Yang cerdik bawa berunding
Yang alim nakkan doa
Yang kaya nakkan emas
Yang kuat jadikan pahlawan
Yang bodoh disuruh arah

Monday, November 19, 2007

Cuti Sekolah? Sukaa

Pagi tadi selepas hantar Ain ke tadika, aku terus ke sekolah. Hari ni pelajar SPM periksa PAI. Alhamdulillah soalan agak senang dan banyak soalan yang telah keluar masa trial ( termasuk trial dari negeri-negeri lain ) betul2 keluar ari ni. Terimakasih kpd kawan-kawan yang bagi soalan trial dari Kedah, Perak, Selangor, Johor dan lain-lain untuk manfaat bebudak hamba di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Mudah-mudahan peratus lulus PAI dan SPM keseluruhannya bagi SMK Panji pada tahun ni akan meningkat. Amin.
.
Sebelah petang aku angkut Ain n the gang ke Pantai Irama. Seperti biasa setiap kali ke P.Irama kami akan santap beradab segala macam maknika makanan bergoreng yang ada. Ianya dikejapkan pula dengan air kelapa. Memang mengancam hingga kami tersandar kekenyangan.
.


Nasib baik ada pantai Irama. Asal bosan je, mesti dtg sini

.
Hampir licin

.
Yang baju kuning tu makan banyak.
Malam ni tak ada nasi tau...
.
Anak dara kekenyangan

Saturday, November 17, 2007

Sepagi di Kota Bharu


Apa benda ni? Siapa tahu? Memang cun jika digayakan dengan kebaya atau yang sewaktu dengannya. Inilah dia handbag yang aku jumpa masa ronda-ronda muzium kraftangan / pusat kraftangan pagi tadi. Untuk pameran saja, bukan untuk dijual... Kalau nak beli, barang-barang di bawah ni memang untuk dijual....





Friday, November 16, 2007

Welcome To "Istana Bunian"

Dalam cuaca mendung petang tadi, aku sekeluarga meronda-ronda sekitar persisiran pantai Bachok. Tiba-tiba teringat kepada Istana Bunian yang pernah diceritakan suamiku sebelum ini. Jarak istana tersebut dari Pantai Irama lebih kurang 5 minit perjalanan (naik kereta, bukan jalan kaki) Nasib kami baik pada petang tadi kerana tuan istana yang masih dalam proses pembinaan itu ada di istana tersebut. Kami dipersilakan masuk dan dibenarkan mengambil gambar istana yang memang unik itu. Disebabkan kami bukan berhajat untuk datang ke istana tersebut, jadi kami tidak membawa kamera. Tapi saya dan suami tetap juga mengambil gambar dengan handphone murah masing-masing.


Istana dua tingkat tersebut mula dibina 22 tahun yang lalu dan sampai sekarang masih belum siap kerana ia dibina sendiri oleh tuannya yang juga mengambil upah membuat landskap dan bertukang. Istana yang mempunyai tujuh buah kolam ini amat unik, umpama gua dengan bermacam-macam bentuk kemasan dinding . Tidak hairanlah istana yang masih dalam proses pembuatan ini pernah ditawarkan dengan harga RM 1 juta.


Pagar luar istana


Salah satu kolam di dalam istana
.
.

Kemasan dinding luar istana


Kemasan dinding bahagian dalam


Kemasan dinding bahagian dalam


Ain sempat bergambar berhampiran tangga tepi kolam

Thursday, November 15, 2007

Bukan Senang Untuk Senang

Kita biasa mendengar atau membaca ungkapan "Bukan senang untuk senang dan bukan susah untuk susah". Bertitik tolak daripada ungkapan tersebut, sayugia kita sedar bahawa kesenangan, kebahagiaan dan kejayaan di dalam hidup ini adalah mustahil untuk kita capai hanya dengan berpeluk tubuh tanpa perlu bersusah payah memerah keringat anugerah Allah swt. Kita harus sedar, ianya menuntut usaha yang istiqamah dan tidak akan kita capai dengan usaha sehari dua.
Segala usaha kita di dalam apa bidang sekalipun hanya akan membuahkan kejayaan dengan berbekalkan perancangan dan usaha yang berterusan. Saidina Umar Al Khattab pernah menegur seorang hamba Allah yang mengharapkan kesenangan dalam hidup tanpa berusaha tetapi hanya beribadat di atas masjid sepanjang masa dengan berkata: " Langit tidak akan menggugurkan hujan emas tanpa kita berusaha untuk mencapai kesenangan dalam hidup".
Modal umur dan akal kurniaan Allah swt sewajarnya kita manfaatkan sebaik mungkin. Usah sekali-kali kita biarkan ia berlalu dan terbiar begitu saja tanpa perancangan dan tindakan ke arah mencapai tujuan dan natijah yang membahagiakan. Allah swt berfirman yang bermaksud : " Dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi, melainkan sekadar apa yang diusahakannya".
Akhir sekali, selamat berjuang untuk pelajar SPM seluruh Malaysia. Semoga kejayaan termanis menjadi milik anda.

Saturday, November 10, 2007

Secebis Kisah Hidupku

Siapa tak terpesona melihat kecantikanku? Berbanding dengan rakan-rakanku, akulah antara ciptaan yang paling cantik dan menarik serta mampu memikat perhatian sesiapa saja yang pernah bersua muka denganku. Aku sedia maklum tentang itu dan tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Satu lagi kelebihanku, aku amat disayangi oleh semua yang mengenaliku. Semuanya itu tidak lain tidak bukan kerana kecantikan wajahku yang tidak jemu dipandang serta bentuk tubuh badanku yang menggiurkan.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Pada suatu hari ketika aku sedang enak bersantai di beranda rumahku, tiba-tiba datang makhluk yang entah dari mana asalnya, dengan kelajuan bagaikan ribut telah melanggarku. Aku terjatuh dari beranda rumah tanpa sempat mengelak walau seinci. Sakitnya bukan kepalang. Walaupun tubuh badanku yang saban hari mendapat pujian itu tidak patah renyuk tetapi pakaianku royak rabak, bahkan sofa kesayangan tempatku berehat dan bersantai telah hancur yang mustahil untuk dibaik pulih semula.

Malangnya nasibku kerana makhluk yang melanggarku itu telah melarikan diri tanpa dapat dikesan. Andaiku tahu siapa dan dimana dia tinggal, rasanya aku ingin menyembelihnya hidup-hidup. Seterusnya mahu rasanya aku goreng atau gulai. Memang aku amat marah, tapi apakan daya aku tidak berkuasa. Maka terlantarlah aku di kaki lima rumahku sehinggalah ada makhluk Allah menjumpaiku beberapa jam selepas itu. Aku telah diangkat dan dialih ke tempat yang lebih selesa serta diberi minum secukupnya. Tubuh badanku telah dibelek-belek kalau-kalau ada yang tercedera dan perlukan rawatan. Namun, syukur tubuh badanku hanya mempunyai calar-calar kecil yang tidak memerlukan rawatan lanjut.

Aku telah ditinggalkan di situ beberapa minggu tanpa kerusi atau sofa seperti kebiasaannya. Rupa-rupanya baru ku sedar, kecantikanku sebenarnya berpunca daripada pakaian dan sofaku yang cantik. Ditambah pula dengan juru mekapku yang memang bijak menyerlahkan lagi kejelitaan dan keanggunanku. Maka, tanpa itu semua, aku telah kehilangan seri dan tidak dipedulikan lagi. Malah, tiada siapa lagi yang memujiku.

Kekecewaan dan kesedihanku berakhir apabila pada suatu petang, di dalam gerimis lembut pada cuti sempena Deepavali, aku telah dikembalikan ke tempat asalku dengan pakaian dan sofa yang baru. Syukur, aku telah kembali cantik dan menarik walaupun masih lagi lemah dan amat trauma dengan kemalangan yang menimpa beberapa minggu yang lepas. Aku berharap semoga tiada lagi makhluk yang tidak berhati perut memecut kenderaan dengan laju di sekitar rumahku.

Tentu anda semua teringin melihat wajahku semasa kegemilangan dulu. Juga semasa aku menderita tidak dipedulikan. Dan wajahku kini yang kembali menarik serta mampu membuat mata-mata yang memandang tertarik. Untuk tidak menghampakan anda semua....Lihatlah,


Sebelum Kemalangan
Semasa menderita sakit


Wajah terkini


Dalam semua kerja buat  kita.
Kita hanya merancang. 
Allah yang menentukan.


Monday, November 5, 2007

Suka Duka

Ada Suka

Ada Duka
Memang lumrah hidup ini
Kadang-kadang kita berada di atas
Dan ada ketikanya kita berada di bawah
Biasa le,
Makin besar pangkat
Makin banyak tanggungjawab
Ingat,
Orang bijak menyalahkan diri sendiri
Orang bodoh menyalahkan orang lain
(Kat sek hari ni tak seronok. Memang tak seronok)

Happy Birthday Nur Ain Syafizah





Balik sekolah, aku kelam kabut memasak ( bukan byk pun ). Sekadar cukup untuk keluarga terdekat. Malam tadi Ain dah tel menjemput tetamu-tetamunya. Untuk Ain, HAPPY BIRTHDAY dan semoga sentiasa di dalam keberkatanNya. Amin


Sunday, November 4, 2007

Annual Dinner


Kelmarin dua kali aku pekena "chinese food" di hotel Perdana, Kota Bharu. Tengaharinya bersama lebih kurang 20 orang rakan-rakan kamcing semasa mengajar di SMK Dato' Ahmad Maher dan pada malamnya Annual Dinner warga SMK Panji. Malam tadi aku memang bertuah. Sebab...berjaya mendapat cabutan bertuah.



Jeling apa tu?
Kalau mereka ni tahu aku masukkan gambar ni, mesti kena marah.Ssyy!!

Friday, November 2, 2007

Kelas Malam

Sepanjang tujuh tahun lebih berada di negeri Perak, aku tidak pernah mendengar atau melihat mana-mana sekolah bantuan penuh kerajaan sama ada sekolah rendah atau menengah yang mengadakan kelas pada waktu malam. Ianya amat berbeza dengan negeri Kelantan dimana kebanyakan sekolah rendah dan menengah bukan sahaja mengadakan kelas tambahan pada waktu petang, tetapi juga akan mengadakan kelas pada waktu malam setidak-tidaknya pada bulan-bulan terakhir sebelum para pelajar menempuh peperiksaan. Jadi, adalah tidak menghairankan bila terdapat sekolah rendah yang mengadakan kelas malam sejak para pelajarnya memasuki tahun 5 sebagai persediaan untuk menempuhi UPSR pada tahun 6.

Kadang-kadang, para guru dikehendaki datang ke sekolah pada sebelah malam bukan untuk mengajar tetapi hanya sekadar menemankan para pelajar membaca atau menelaah pelajaran. Begitulah gigih dan bersungguh-sungguhnya pihak sekolah mengatur strategi dan program untuk memastikan para pelajarnya membuat persediaan yang secukupnya, seterusnya mampu memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan.

Walau bagaimana pun, tanpa kerjasama yang padu daripada ibubapa, segala usaha murni ini sukar untuk membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Jika para guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu para pelajar, harapan saya, para ibu bapa lebih-lebih lagi.........
"BERSAMA-SAMA KITA MENDIDIK"

Thursday, November 1, 2007

Majlis Solat Hajat dan Izin Ilmu

Tengahari tadi semua pelajar SMK Panji diberi peluang untuk mengadakan jamuan akhir tahun mengikut kelas masing-masing. Namun begitu tidak semua kelas mengadakan jamuan pada hari ini memandangkan semua kelas telah mengadakan rumah terbuka sempena Aidil fitri pada 21 Okt yang lepas. Bagi pelajar form 5, malam tadi juga diadakan Majlis Solat Hajat dan Izin Ilmu bertempat di surau SMK. Panji.
Ini merupakan antara usaha dan ikhtiar terakhir pihak sekolah dan PIBG untuk membantu para pelajar menggapai kejayaan di dalam SPM yang akan bermula pada 12 Nov nanti. Ramai pelajar perempuan yang menangis masa bersalam dengan cikgu dan ibu-ibu mereka. Rugi aku tak ambil gambar. Sebenarnya, aku pun terharu gak. Hehehe.