Thursday, November 15, 2007

Bukan Senang Untuk Senang

Kita biasa mendengar atau membaca ungkapan "Bukan senang untuk senang dan bukan susah untuk susah". Bertitik tolak daripada ungkapan tersebut, sayugia kita sedar bahawa kesenangan, kebahagiaan dan kejayaan di dalam hidup ini adalah mustahil untuk kita capai hanya dengan berpeluk tubuh tanpa perlu bersusah payah memerah keringat anugerah Allah swt. Kita harus sedar, ianya menuntut usaha yang istiqamah dan tidak akan kita capai dengan usaha sehari dua.
Segala usaha kita di dalam apa bidang sekalipun hanya akan membuahkan kejayaan dengan berbekalkan perancangan dan usaha yang berterusan. Saidina Umar Al Khattab pernah menegur seorang hamba Allah yang mengharapkan kesenangan dalam hidup tanpa berusaha tetapi hanya beribadat di atas masjid sepanjang masa dengan berkata: " Langit tidak akan menggugurkan hujan emas tanpa kita berusaha untuk mencapai kesenangan dalam hidup".
Modal umur dan akal kurniaan Allah swt sewajarnya kita manfaatkan sebaik mungkin. Usah sekali-kali kita biarkan ia berlalu dan terbiar begitu saja tanpa perancangan dan tindakan ke arah mencapai tujuan dan natijah yang membahagiakan. Allah swt berfirman yang bermaksud : " Dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi, melainkan sekadar apa yang diusahakannya".
Akhir sekali, selamat berjuang untuk pelajar SPM seluruh Malaysia. Semoga kejayaan termanis menjadi milik anda.

No comments: