Monday, September 29, 2008

Alamak...Terlebih Sudah

Tu dia, siapa yang nak habiskan makanan dan minuman ini.

Lycheekang
ABC
Buah Melaka, buah tanjung, jala mas dan agar-agar
Sagumpal ( sagu + gumpal )
Mee Kari
Nasi Kerabu Kuning



Sindrom M

Dari pintu depan hingga ke dapur masih berdebu.
Segenap bilik dan ruang pun begitu (macam le besar sangat)
Kerusi meja berhabuk bertemankan tahi cicak
Kain yang sepatut berlipat masih berlonggok
periuk dan pinggan mangkuk meratap minta disusun
Dapur berminyak minta dilap, dikilat
Daun-daun masih ke hulu hilir menziarahi hamparan rumput
Rumput-rumput masih bergembira menceroboh pasu bunga
Uwaa.... pokok bungakah yang menangis?
Dan aku???
Sungguh seronok bermalas-malasan
Berkemas mlm raya sangat le bestnye. kan? kan?

Sunday, September 28, 2008

Nota Kasih

Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak memang tidak berbelah bagi.
Fakta ini tidak dapat dinafikan walaupun ramai ibu bapa yang tidak pandai dan tidak terbiasa untuk menzahirkannya dengan kata-kata.
Pun begitu kadang-kadang, walaupun mengetahui kegemaran anak masing-masing, ibubapa tidak dapat menunaikannya. Mungkin disebabkan kekangan wang ringgit atau pun kudrat. Namun,yang pasti anak-anak tetap di hati.
Dan kerana kasih sayang ini juga, di saat-saat begini ibu bapa akan tertunggu-tunggu kepulangan anak-anak dari perantauan walaupun hanya untuk dijamu ketupat dan tapai. Bahagianya ibubapa bila mengetahui anak-anak akan tiba di pondok kecil yang didiami sepanjang usia hingga melahirkan anak-anak yang kini hebat berkerjaya, dengan isteri/suami hebat, anak-anak hebat, dan paling tidak berkereta berbanding ibubapa yang hanya berumah usang, berbasikal tua ataupun bermotosikal sahaja.

Justeru, kepada anak-anak di luar sana, andai kita boleh beria-ia meminta maaf penuh sopan bila terlanggar rakan-rakan atau mamat bangla atau minah indon di pasaraya, kesopanan, kelembutan tutur kata begitu juga wajib kita sulamkan di dalam pergaulan kita tatkala bersama ibu bapa biarpun mereka tiada siapa-siapa dari segi pelajarannya, dari segi kekayaannya, dari segi pangkat dan sebagainya. Terimalah kekurangan ibu bapa kita dari segi apa saja. Mungkin ibu bapa kita tidak berpeluang bersekolah seperti kita atau jika bersekolah pun tidak sebanyak kita darjahnya. Jadi, Usah dilihat kekurangan itu kerana walau siapa pun mereka, kedua-duanya tetap ibu bapa kita. Ambillah iktibar dari kekurangan itu dalam mendidik anak-anak kita. Ketahuilah, kejayaan kita hasil didikan ibu bapa dengan izin Allah yang maha kaya walau bagaimanapun mereka

Syukur kerana ibu bapa tidak membesarkan kita dari hasil mencuri atau merompak, ibu bapa tidak pernah ke tempat kerja kita untuk memeras ugut anak-anak, ibu bapa kita bukan penjenayah, bukan penagih atau pengedar dadah. Dan andai ibu bapa berkasar, diam itu senjata terbaik anak-anak, jika ibu bapa marah, ianya lebih wajar daripada kita anak-anak memarahi ibu bapa. Sayugia diingat, darjat ibu bapa di sisi Allah sangat mulia sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah sebagaimana sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).

Berdasarkan maksud hadis di atas, seharusnya sebagai anak yang memiliki kesempurnaan akal, kita berusaha untuk mencapai keredhaan ibu bapa. Usah tempatkan diri kita bersama anak-anak yang belum insaf dan tidak prihatin terhadap keterangan hadis di atas. Walaupun hakikatnya mereka cukup baik amal ibadatnya, cukup berhemah dan cukup bertatasusila dengan rakan dan orang lain, namun mereka tanpa segan silu, melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa sendiri.

Penderhakaan yang sering diperhatikan ialah:
i- Apabila bercakap dengan ibu bapa kerap meninggikan suara.
ii- Mencaci, mengherdik atau menengking apabila ibu bapa membuat kesilapan atau melakukan perkara yang tidak disukai dan tidak sesuai dengan kehendaknya.
iii- Sanggup melanggar perintah atau membantah nasihat ibu bapa.
iv- Mengabaikan atau membiarkan mereka apabila tua atau uzur.

Ingatlah bahawa orang yang derhaka kepada ibu bapa, akan mendapat balasan buruk yang disediakan oleh Allah.
Antaranya ialah:

i-Segera mendapat balasan Allah.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Setiap dosa mungkin ditangguhkan seksanya sesuai dengan kehendak Allah sampai hari Kiamat kecuali dosa terhadap ibu bapa..." (Hadis riwayat at-Tirmizi).


ii-Segala amal ibadatnya sia-sia..
Hal ini dapat difahami melalui sepotong hadis yang bermaksud: "Tiga hal yang menyebabkan sia-sia amal iaitu menyekutukan Allah, menentang kedua ibu bapa dan melarikan diri daripada medan perang." (Hadis riwayat Tabrani).

iii-Tidak akan masuk syurga.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis riwayat al-Hakim).



Fikir-fikirkan!!
Maaf Zahir Batin.

Friday, September 26, 2008

Meriah Berbuka

Antara nikmat yang diperolehi oleh orang yang berpuasa ialah di saat berbuka.
Kenikmatan ini akan lebih berganda lagi bila dapat berbuka beramai-ramai dengan ahli keluarga dan sanak saudara. Alangkah seronoknya...........


Acara selepas solat tarawikh.
Gandingan mantap kerang dan collek.

Selera Budak Demam

Yummy....

Wednesday, September 24, 2008

Oh la la

Ini dia cats eye.(rujuk buku The Secrets of crystals)
Ingatkan buah je ada nama gini.
Rupanya permata pun ada.
Makcik tak kisah...
Thank you...thank you

Bagi clear sikitt...

Tuesday, September 23, 2008

Rezeki

Alhamdulillah dalam bulan Ramadhan ni rezeki sangat murah.
Beberapa hari lepas, kami dapat kupon di bawah. Mula-mula ingatkan kupon main-main dan sudah tentu saya malu untuk menggunakannya. Tapi, pakweku itu dengan yakin telah menggunakan kupon ini. Alhamdulillah, nilai RM10.00 itu dia belanja tanpa masalah dan yang lebih penting, tanpa mengeluarkan wang dari poket.Hehehe. Sekarang masih ada baki RM10.00. Macam le ada RM10.000. Suka...
Dan semalam kami dapat rezeki lagi. Mula-mula dua tiga biji dan pada petangnya semakin banyak. Memang sah chickenpox. Kesian Ain.... Mudah-mudahan akan sembuh sebelum hariraya. InsyaAllah, kesabaran menanggungnya akan membuahkan pahala yang setimpal dari Allah swt.













*
*
*
*
Dan saya tengah menunggu rezeki ini pula.
Mudah-mudahan dapat sebelum raya jugak.
Hehehe. Ada ke orang nak bagi??




Hari ni ibu dan anak cuti.

Wednesday, September 17, 2008

Nombor Cantik

Yang sempat saya copy sekejap tadi
Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi singgah.
Semoga mendapat sedikit manfaat di blog ini.


Nuzul Al Quran

Hari ni 17 Ramadhan
Cuti Nuzul Al Quran.
Sebagai umat Islam yang mendokong Wawasan al Quran,
Jangan kita hanya seronok dan ingat cutinya sahaja.
Syukur
Kerana bermula dengan peristiwa inilah
zaman Jahiliah yang diliputi kegelapan
telah disinari cahaya
Kesesatan digantikan dengan kebenaran
Dan umat manusia yang hidup bertuhankan hawa nafsu
berubah kepada bertuhankan Allah SWT
Dan
Kita mesti sedar kedudukan Al Quran dalam kehidupan kita.
Bagaimana kita beriman kepada al Quran?
Betulkah bacaan al Quran kita?
Adakah kita mengamalkan semua isi kandungannya?
Sedarlah
Allah menurunkannya untuk dibaca, dikaji, difaham dan diamal.
Mengandungi petunjuk yang memandu manusia
ke jalan yang selamat dan sejahtera di dunia dan di akhirat.

Kesilapan Sepanjang Ramadhan

1. Makan sahur di tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Amalan ini bercanggah dengan sunnah Rasulullah saw.

2. Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa ibadat lain. Ini kerana pada waktu tersebut adalah antara waktu yang terbaik untuk beribadat dan menunaikan solat malam.

3. Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Ini adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keIslaman seseorang.

4. Menunaikan solat terawih di masjid atau surau dengan niat inginkan meriah, bukannya atas dasar keimanan dan mengharap redha Allah. Rugilah mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat.

5. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

6. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sepatutnya kita perbanyakkan ibadat seperti berzikir, solat sunat, membaca al Quran dan sebagainya.

7. Wanita berterawih di masjid atau surau tanpa menjaga aurat.


Ramadhan ini

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia sehingga ke hari ini 17 Ramadhan 1429 H. InsyaAllah, kita masih mempunyai berbelas-belas hari lagi untuk menghirup udara Ramadhan kali ini. Setelah lebih daripada separuh Ramadhan ini berlalu, sudahkah anda menangis pada malam atau siangnya? Kita perlu menangis kerana menangis itu antara keistimewaan orang yang beriman.

Alangkah indahnya, jika kita mampu menangis sepanjang malam-malam Ramadhan ini di hadapan Allah taala dengan mengharapkan keampunan dan rahmat serta pelepasan dari api neraka. Alangkah indahnya jika ketika orang lain nyenyak tidur, sibuk dengan hal-hal dunia dan hiburan, kita pula sibuk menangisi kelemahan jiwa dan iman lantaran jauhnya hubungan kita dengan Yang Maha Esa.

Menangislah selagi Dia masih beri masa dan nyawa serta udara yang cukup untuk kita hidup di dunia yang sementara ini. Jangan kita banyak ketawa di dunia, walhal kita akan menangis di akhirat kelak.

Saturday, September 13, 2008

Sehari Di Kuala Lumpur


Naik bas di KB jam 11 mlm. Sampai Hentian Putra lebih kurang jam 6 pagi.
Pukul 8 lebih, menghantar barang-barang rakan dari Brunai di Piccolo Hotel Bukit Bintang.
Berpusing-pusing pakcik teksi tu mencari.
Kemudian mengingati nostalgia lama di Jalan TAR. Masih seperti dulu.........
Jam 10 pagi, berurusan dengan seorang rakan di ?? (bangunan hadapan Kompleks Pertama)
Seterusnya beralih kpd acara yang menyeronokkan di Sogo.
Acara di dlm Sogo berakhir lebih kurang 1 jam kemudian kerana terpaksa menunggu seorang rakan yang ingin mengambil barang tempahannya pada pukul 11 pagi.
Seterusnya keluar masuk kedai kain, kasut, tudung sepanjang jalan TAR.
Selepas pakwe selesai solat Jumaat di masjid berhampiran, kami menghantar barang-barang tempahan ke rumah seorang rakan di Shah Alam. Terima kasih kepada kawan yang sudi ambil dan hantar kerana kami langsung tak tahu jalan di KL.
Jam 5 petang, kami bertolak dari Shah Alam dan sampai di Hentian Putra pada pukul 6 ptg.
Sempat membeli barang pesanan si kecil Ain di The Mall sebelum berjumpa dan dibawa berbuka puasa oleh seorang kawan di sebuah Golf Club yang best ituu. Terima kasih kerana aneka makanan yang lazat dan terima kasih juga kerana satu beg bekal aneka makanan dan minuman yang kami buka bila sampai rumah jam 4.30 pagi tadi. Kenyang dan mengantuk, tak sempat buka dan makan sepanjang dlm bas. ( En. Syaharim, bestnye keta!!)
9.00 - 4.00 lena time yang nikmat kerana keletihan yang amat.




Masa di The Mall tu kan, mata saya mcm takleh kawal bila terpandang hbag dan kasut kat situ. Melilau-lilau. Kaki pun mcm susah nak melangkah meninggalkan tempat tu.Hati pun suka sangat nak singgah dan sempat lagi berbisik, relaks le, bukan nak beli pun, dpt belek-belek pun jadi le...kesiannye. Tapi nak buat macamana, takdan nak singgah. .
Sebenarnya, nak cakap kat sini, saya ni seorang yang SABAR. hehe

Thursday, September 11, 2008

Wednesday, September 10, 2008

Kisah Benar

Tengah menanda kertas pagi tadi, saya mencuri.
Jgn salah sangka....
Sebenarnya saya mencuri dengar satu kisah menarik dari seorang kawan yang bercerita kpd guru-guru praktikal yang sememangnya duduk di belakang saya.
Dan sekali sekala saya menyampuk jugak.
Tapi saya byk mendengar daripada bercakap.
Kisahnya begini, kawan saya ada seorang kakak yang suatu masa dulu belajar di sebuah sekolah asrama penuh yang tersohor di Malaysia ini. Dan kakaknya ada seorang kawan yang saya akan namakan sebagai T. Mereka sama-sama belajar di sekolah yang tersohor itu.
Dan dari sekolah tersebut lagi T hangat bercinta dengan seorang murid dari sekolah asrama penuh jugak, tapi dari sekolah lain.
Kemudian, pasangan ini sama-sama menyambung pelajaran ke luar negara.
Dipendekkan cerita, pasangan ini menamatkan pelajaran dengan jayanya dan berkahwin.
Si suami tidak membenarkan si isteri bekerja walaupun ibubapa si isteri mengharapkan anaknya makan gaji. Sebagai isteri yang setia, T telah mengikut kehendak suami dengan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Setelah mempunyai tiga orang anak, T disahkan menghidap kanser. (cp tak tanya pulak kanser apa)
Lebih malang lagi, di saat T memerlukan belaian dan sokongan dari seorang suami untuk melawan kanser tersebut, suami yang dicinta dan dipuja sejak sekolah menengah itu telah berkahwin lain dan meninggalkan T begitu saja tanpa wang belanja atau nafkah.
Pada masa tersebut, ibu bapa T telah meninggal dunia dan walaupun berkelulusan dari luar negara, T langsung tidak mempunyai sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan dan berubat. Dalam keperitan ditinggalkan suami, menanggung kanser dan tidak berduit, nasib baik ada adik beradik T yang sudi membantu.
Akhirnya T meninggal dunia tanpa suami yang dicinta dan dipuja sejak sekian lama.

Sampai bila kesuburan ini bertahan? Wallahu A'lam

Monday, September 8, 2008

Diiringi Doa

Esok, seorang anak saudara cp akan menjalani peperiksaan UPSR.
Semoga Iqah dapat jawab dengan baik dan akan mendapat keputusan yang cemerlang.

Sunday, September 7, 2008

Kawan Baru

Dua tiga hari meronda
Masuk kedai keluar kedai
Macam-macam yang dijumpa

Akhirnya inilah yang dibawa balik . Sukanya....

Saturday, September 6, 2008

Mampu Berjimat??

Makanan yang banyak dan pelbagai menyebabkan ramai orang suka makan dan kadang-kadang menyebabkan berlaku pembaziran. Walaupun pada bulan puasa ini kita hanya makan pada waktu malam, tetapi ramai antara kita berbelanja untuk makan minum melebihi daripada hari-hari biasa. Dan ramai antara kita yang memang telah memperuntukkan wang yang lebih untuk perbelanjaan makan minum pada bulan ini.

Ketika lapar berpuasa, nafsu berkata sedap pada bermacam-macam jenis juadah yang dapurnya merata-rata tempat dan lokasinya dari perkarangan stadium hinggalah ke tepi-tepi jalan kecil dan besar. Dari yang berkedut seperti akak kedut hinggalah kepada yang tegang seperti agar-agar merah. Dari nasi putih hinggalah nasi hitam,kuning dan ungu semuanya nampak sedap. Dari yang basah berkuah seperti gulai serati hinggalah yang kering garing seperti daging bakar. Dari air sirap hinggalah kepada air nira dan kelapa muda. Tiada yang nampak tak sedap melainkan sedap-sedap belaka.Itu belum lagi dicampur dengan bermacam-macam collek yang dijual hingga lewat malam sekitar Kelantan di bulan puasa ini yang juga memikat jemaah yang balik dari solat terawikh seperti collek buah, collek kerang, collek keropok, collek perut, collek ayam dan sebagainya. Semuanya membikin nafsu makan meronta-ronta.

Jadi, untuk berjimat dan tidak terlalu mengikut nafsu makan, anda CP terutamanya disarankan supaya hanya membeli barang atau keluar ke kedai pada waktu pagi sahaja untuk mengelakkan daripada bersua muka dengan makcik-makcik atau kakak-kakak dan adik-adik yang sentiasa bermanis muka walaupun tidak melambai dengan jualan mereka yang serbamaknika, bergeraikan sebiji meja dimana-mana sahaja yang biasanya bermula seawal pukul dua.
Apa salahnya jika kita memasak ala kadar seperti biasa tanpa juadah yang memenuhi meja, dengan air yang bermacam colour. Bukankah semasa lapar semua sedap belaka walaupun hanya berlaukkan ikan goreng / ikan singgang dan budu bercicahkan pegaga.
Dalam pertarungan ini
Usah menangkan nafsu
Agar kita mendapat kemenangan dan habuan.
Serta keberkatan Ramadhan.

Tuesday, September 2, 2008

Belajar Puasa

Semalam Ain puasa sampai pukul 2.30 ptg walaupun hanya bersahur dengan sebotol susu.
Waktu bersahur pagi tadi pula, dengan eloknya dia bangun dan makan nasi walaupun tidak sebanyak mana.

Dan seperti yang diduga, balik dari sekolah tadi, dia minta nak buka puasa.

Bila sudah tidak makan pujuk, CP keluarkan RM10 dan menyatakan wang tersebut akan menjadi miliknya kalau dia berpuasa penuh.

Dan dia menarik balik hasratnya.

Sebelah petangnya, keadaan menjadi lebih kritikal bila RM10 sudah tidak dipandangnya lagi sehingga CP terpaksa membawanya meronda KB. Dan seperti biasa, belum pun 5 minit di dalam kereta, dia sudah terlena.

Dari KB, CP terus ke rumah MIL dan hanya balik ke rumah ketika hampir waktu berbuka.

Alhamdulillah, dengan segala susah payah, hari ini buat pertama kalinya Ain berjaya puasa penuh.


Makcik yang lena keletihan

Monday, September 1, 2008

Tingkatkanlah Amal Ibadat

USAH BIARKAN
TAWARAN HEBAT
SEMPENA RAMADHAN AL MUBARAK INI
BERLALU BEGITU SAHAJA.




Gunalah apa cara sekalipun untuk mengutip seberapa banyak mata ganjaran dan bonus dari Yang Maha Esa.