Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak memang tidak berbelah bagi.
Fakta ini tidak dapat dinafikan walaupun ramai ibu bapa yang tidak pandai dan tidak terbiasa untuk menzahirkannya dengan kata-kata.
Pun begitu kadang-kadang, walaupun mengetahui kegemaran anak masing-masing, ibubapa tidak dapat menunaikannya. Mungkin disebabkan kekangan wang ringgit atau pun kudrat. Namun,yang pasti anak-anak tetap di hati.
Dan kerana kasih sayang ini juga, di saat-saat begini ibu bapa akan tertunggu-tunggu kepulangan anak-anak dari perantauan walaupun hanya untuk dijamu ketupat dan tapai. Bahagianya ibubapa bila mengetahui anak-anak akan tiba di pondok kecil yang didiami sepanjang usia hingga melahirkan anak-anak yang kini hebat berkerjaya, dengan isteri/suami hebat, anak-anak hebat, dan paling tidak berkereta berbanding ibubapa yang hanya berumah usang, berbasikal tua ataupun bermotosikal sahaja.
Justeru, kepada anak-anak di luar sana, andai kita boleh beria-ia meminta maaf penuh sopan bila terlanggar rakan-rakan atau mamat bangla atau minah indon di pasaraya, kesopanan, kelembutan tutur kata begitu juga wajib kita sulamkan di dalam pergaulan kita tatkala bersama ibu bapa biarpun mereka tiada siapa-siapa dari segi pelajarannya, dari segi kekayaannya, dari segi pangkat dan sebagainya. Terimalah kekurangan ibu bapa kita dari segi apa saja. Mungkin ibu bapa kita tidak berpeluang bersekolah seperti kita atau jika bersekolah pun tidak sebanyak kita darjahnya. Jadi, Usah dilihat kekurangan itu kerana walau siapa pun mereka, kedua-duanya tetap ibu bapa kita. Ambillah iktibar dari kekurangan itu dalam mendidik anak-anak kita. Ketahuilah, kejayaan kita hasil didikan ibu bapa dengan izin Allah yang maha kaya walau bagaimanapun mereka
Syukur kerana ibu bapa tidak membesarkan kita dari hasil mencuri atau merompak, ibu bapa tidak pernah ke tempat kerja kita untuk memeras ugut anak-anak, ibu bapa kita bukan penjenayah, bukan penagih atau pengedar dadah. Dan andai ibu bapa berkasar, diam itu senjata terbaik anak-anak, jika ibu bapa marah, ianya lebih wajar daripada kita anak-anak memarahi ibu bapa. Sayugia diingat, darjat ibu bapa di sisi Allah sangat mulia sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah sebagaimana sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).
Berdasarkan maksud hadis di atas, seharusnya sebagai anak yang memiliki kesempurnaan akal, kita berusaha untuk mencapai keredhaan ibu bapa. Usah tempatkan diri kita bersama anak-anak yang belum insaf dan tidak prihatin terhadap keterangan hadis di atas. Walaupun hakikatnya mereka cukup baik amal ibadatnya, cukup berhemah dan cukup bertatasusila dengan rakan dan orang lain, namun mereka tanpa segan silu, melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa sendiri.
Penderhakaan yang sering diperhatikan ialah:
i- Apabila bercakap dengan ibu bapa kerap meninggikan suara.
ii- Mencaci, mengherdik atau menengking apabila ibu bapa membuat kesilapan atau melakukan perkara yang tidak disukai dan tidak sesuai dengan kehendaknya.
iii- Sanggup melanggar perintah atau membantah nasihat ibu bapa.
iv- Mengabaikan atau membiarkan mereka apabila tua atau uzur.
Ingatlah bahawa orang yang derhaka kepada ibu bapa, akan mendapat balasan buruk yang disediakan oleh Allah.
Antaranya ialah:
i-Segera mendapat balasan Allah.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Setiap dosa mungkin ditangguhkan seksanya sesuai dengan kehendak Allah sampai hari Kiamat kecuali dosa terhadap ibu bapa..." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
ii-Segala amal ibadatnya sia-sia..
Hal ini dapat difahami melalui sepotong hadis yang bermaksud: "Tiga hal yang menyebabkan sia-sia amal iaitu menyekutukan Allah, menentang kedua ibu bapa dan melarikan diri daripada medan perang." (Hadis riwayat Tabrani).
iii-Tidak akan masuk syurga.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis riwayat al-Hakim).
Fikir-fikirkan!!
Maaf Zahir Batin.
4 comments:
assalamualaikum tuan rumah,
mengisi pulut ke dlm buluh, buat lemang juga ketupat, menyusun jari nan sepuluh, maafkan me wahai sahabat..
selamat hariraya maaf zahir batin dari en_me
sama-sama.Semoga Aidil fitri kali ini lebih bermakna utk kita.
Terimakasih cikgu.... saya pun akan balik kedua-dua kampung biarpun beratus²kilometer untuk bertemu ibubapa.
Selamat hari raya Aidilfitri - maafkan segala salah silap tutur kata yang mungkin pernah menguris hati mencalar perasaan. Saya hanya manusia biasa yang tidak terlepas dari segala salah dan silap.
Sama-sama k jie.
Semoga kita dapat menggembirakan hati-hati yang tidak terkira jasanya kpd kita semua.InsyaAllah
Post a Comment